Pendidikan Dan Kerjaya

Ad Code

Cerpan : Aku Sebenarnya...(2)






Isnin datang bertandang. Bas yang tercinta tetap menjadi idaman hati Suzi untuk ke tempat kerja. Perjalanan minggu kedua Suzi dengan bas amatlah membahagiakan. Macam biasa dengan setianya Suzi duduk di belakang pemandu bas. Bukannya nak mengurat pak cik yang bawa bas tetapi pak cik itu tahu kalau Suzi tertidur atau terlelap, dia akan tolong kejutkan. Pak cik bas sudah hafal nama tempat kerja Suzi. Pak Cik bas siap bookingkan tempat duduk untuk Suzi dan yang penting sambil duduk dalam bas boleh juga bercucuk tanam dalam FB. Ada ke? Yang penting ado!!!

Jumaat datang lagi. Suzi mengenakan kasut tumit tinggi warna maroon dan berbaju kurung Pahang warna maroon plain. Rambutnya di sanggul kemas ke belakang dan beberapa helai anak rambut dibiarkan berjurai di dahi. Macam nak mengurat aje aku ni…hehe…hati Suzi berbisik nakal. Mana tahu ada mamat yang sangkut. Dalam hati berharap benar mamat minggu lepas akan duduk di sebelahnya lagi.

“Cantik benor pagi ini?” pak cik pemandu bas menegur.

“Pakai kemas dan cantik kan sunat hukumnya, pak cik. Selalu saya tak cantik ke, pak cik?”

“Cantik…tapi hari ini dah macam ratu cantik pulak.” Pak cik bas menyeringai. Banyak gigi dah tak ada rupa-rupanya. Hmmm…Patutlah selalu tersenyum simpul bila aku usik. Ingatkan pemalu, tak ada gigi rupanya! Pak cik Oooo Pak Cik. Tak ada gigi pun tak apa, yang penting bas merahmu tetap menhadi pujaan hatiku…

Bas mula bergerak perlahan-lahan. Hati Suzi berdebar kencang. Tak tahu mengapa. Nak kata dia duduk atas enjin bas tak juga sebab enjin bas nun kat belakang sana, nak kata terkena Parkinson lawaklah pulak. Sebab dalam keluarga Suzi tak ada yang menghidap penyakit tersebut. Kenapa wahai hati kau berdebar lain dari biasa. Jangan-jangan disebabkan mamat hari jumaat itu tak? Tapi kenapa dia tak muncul-muncul juga. Takkan azam tahun baru nak lambat pergi kerja pulak?! Hmm…sabarlah wahai hati. Sekejap lagi muncullah dia, kut...(sambil Suzi mengurut dadanya).

“Tak tunggu orang lain ke pak cik?”

“Tak payahlah…”

“Tapi…”

“Nanti kamu lambat pulak sampai ke pejabat.”

Betul juga kata pak cik bas itu. Mana ada bas awam tunggu penumpang. Takkan aku nak buat term and conditions sendiri gara-gara mamat hari jumaat itu. Akhirnya Suzi dan hatinya hampa kerana dalam senyap-senyap dia harap dapat duduk dengan mamat yang bernama Tuan Azhan bin Tuan Zainal. Tak ada chance gamaknya hari ini.

“Oppocot!”

Suzi nyaris tersungkur di depan pintu lif. Sempat pula sepasang tangan sasa menyambut tubuhnya dari terhempas di atas simen. Kalau tidak tentu gaya jatuh Suzi macam nangka busuk yang kering jatuh dari pokok. Di tepi pinti lif ada tanda amaran yang lantai sedang di cuci. Kenapa pulak mata aku yang bulat ini tak perasan benda itu semua. Buat malu betul jatuh kat depan pintu lif ini. Beberapa pasang mata memandangnya dengan pandangan perli dan dua orang mamat siap ketawa sakan macam sedang tengok raja lawak beraksi.

“Lain kali pakai lagi kasut tinggi 3 inci…”

Suzi sempat membelek kasutnya sebentar. Tiga inci ke? Aku tak ukur pun! Tangan sasa itu melepaskan tubuhnya perlahan-lahan. Pagi jumaat yang memalukan. Pagi jumaat yang akan dikenang sampai bila-bila.

“Terima kasih sebab selamatkan saya.”

Suzi membalikkan tubuhnya. Dia nak menghadap wajah orang yang telah menyelamatkannya. Dia mahu mengenang wajah itu dalam sejarah hidupnya. Sampai bila-bila pun orang itu akan kekal dalam lipatan sejarah hari jumaatnya.

“Ehh!!”

“Kenapa macam nampak hantu?”

“Awak lagi…”

“Ya…saya sempat selamatkan awak. Saya terpaksa pegang awak walaupun awak ni isteri orang. Nanti kalau suami awak salah faham, awak kena ceritakan pada dia.”

“Suami?? Errr…suami siapa…”

“Suami awaklah! Baru saya sentuh sikit, awak dah lupakan suami awak puan Suzi.”

Suzi tersenyum. Puan Suzi…silap diri sendiri kerana terlebih gurau hari tu. Terpaksalah tanggung sendiri…




“Terima kasih Tuan Azhan sebab telah selamatkan saya hari ini. Minggu lepas pun awak tolong selamatkan Galaxy Ace saya. Awak ni memang survivor saya…entah apa lagi awak akan selamatkan kemudian.”

“Takkan nak suruh saya selamatkan rumahtangga awak…”

“Rumah….???”

“Awak ni pelik betul. Setiap kali saya sebut awak ulang balik dengan nada terkejut dan terpinga-pinga.”

“Bukan macam itu. Saya tak bermaksud nak tipu…”

“Baiklah. Saya kena pergi dulu. Awak pun dah selamat.”

Suzi membiarkan sahaja Tuan Azhan berlalu ke dalam lif. Dia termangu-mangu beberapa ketika. Pintu lif ditenung lama. Mengharap keajaiban di situ. Semoga Tuan Azhan keluar semula dan menyapanya dengan mesra. Semoga Tuan Azhan berbual-bual lama dengannya, memuji penampilannya dan terus mengiringi Suzi hingga ke pejabat. Harapannya hampa. Dilihat lif terus bergerak ke atas. Suzi berjalan perlahan-lahan ke pejabatnya.


“CEPATLAH! Ditenung aje lauk tu takkan boleh hidup balik dia. Nak makan pun terkemut-kemut. Cuba makan dengan bersemangat. Barulah nasi gembira masuk dalam perut.”

“Aku tak ada mood.”

“Cik Suzi oiii…azam tahun baru kau fresh lagi. Konon nak lebih bersemangat, ubah sikap. Jadi lebih matured. Tapi yang depan aku sekarang ni…bukan Suzi yang baru. Dah jadi lembik semacam aje. Apa jadi pada kau hari ini?”

“Entahlah Hana. Aku terkena sumpahan kut.”

“Sumpahan apa?”

“Hantu tanah.”

“Hish! Merepek aje. Dah lah tu, makan cepat.”

Hana dan Suzi cepat-cepat makan kerana waktu rehat mereka hampir tamat. Sebelum makan tengahari tadi Suzi menemankan Hana pergi membeli tiket kapalterbang untuk ayah Hana yang mahu makan angin ke luar negara. Selepas itu barulah mereka singgah di restoran nasi campur tersebut.

“Cantik juga restoran ini kan? Penuh dengan ciri-ciri tradisional. Cuba kau tengok pasu bunga dia…”

“Nak buat apa dengan pasu bunga?” Hana mencebik.

“Kan nampak klasik sangat. Aku suka. I like…” Suzi tak dapat mengawal perwatakannya hingga jadi terover. Tangannya yang lincah bergerak seiring dengan mulutnya telah terlanggar badan seseorang. Tanpa di duga makanan yang berada di dalam tangan hamba Allah itu terlepas lalu mengenai bajunya.

“Alamak! Macam mana ni. Apa aku dah buat Hana? Mati aku Hana! Mati aku…”

“Siapa nak bunuh awak. Awak belum mati lagi…”

“Aduss!! Dia lagi ke?”

“Ya. Saya lagi puan Suzi.”

Suzi segera menoleh. Habis baju kemeja berwarna cerah yang membalut tubuh Azhan dipenuhi dengan kuah kari. Lepas ini bolehlah buat resepi baru, ‘Kari Kepala Ikan Tertumpah Di Baju’…

“Apa lagi? Bersihkan kuah kari kat baju saya ni.”

“Marah nampak?”

“Taklah. Saya sedang ketawa ni…tak nampak!” suara tuan Azhan bernada geram.

“Honey….apa kecoh-kecoh ni. Apa dah jadi dengan baju you…habis comot. Kenapa ni? Siapa yang kolot sangat macam tak pernah makan kat restoran. Habis menyusahkan orang.”

Honey? Madu? Akukah yang dimadukan? Takkan kut, kahwin pun tidak, nak bermadu apa pulak…Suzi tersengih nakal memandang wanita berbaju kurung berkain jarang itu. Dia nampak bibir merah wanita itu terkumat kamit macam membaca jampi serapah, satu apa pun dia tak dengar. Yang dia dengar degupan jantungnya sendiri yang sudah kucar kacir.

Tuan Azhan tidak memberikan perhatian kepada pertanyaan miss Honeynya. Sebaliknya tuan Azhan hanya merenung tajam ke dalam anak mata Suzi tanpa berkelip. Nak marah tak marah. Nak marah tak marah. Hrmmm…nak sayang bini orang pulak! Ish!! Tak boleh jadi ni,…

“Honey! Honey!”

Wanita berbaju kurung jarang itu memegang lengan Tuan Azhan sambil mengoncang tubuh sasa itu. Tetapi sayangnya Tuan Azhan tidak endahkan tindakan wanita itu.

“Awak bersihkan baju saya sekarang juga.”

Suzi mengalihkan pandangan matanya dari renungan tajam milik Tuan Azhan. Dia berasa pelik. Mengapa dia tak takut sedikitpun dengan gertakan dari pemuda itu. Adakah kerana pandangan itu? Mengapa dia berasa selamat bila berada dekat dengan lelaki itu. Apakah ini tandanya??

“Suzi…kau buat aje. Jangan lawan…kita dah lambat ni.”

Suzi mengambil tisu lalu menggosok baju kemeja Tuan Azhan. Banyak mata memandang insiden tak disengajakan itu. Kalau diberi peluang, tak ada sesiapa pun mahu benda memalukan itu terjadi, tetapi inilah namanya takdir. Takdirnya adalah Tuan Azhan sudah berpunya dan wanita di sebelahnya itu sudah menjadi bukti. Setakat itu sahaja harapan yang digantung…

“Nasib baik awak dah berkahwin Puan Suzi…”

Suzi menelan liurnya berkali-kali. Dia segera menarik tangan Hana dan berlalu dari situ tanpa mempedulikan renungan Tuan Azhan untuk kesekian kalinya. Dua kali jumaat yang mencipta sejarah tersendiri dalam hidupnya yang sekadar pekerja sementara. Esok lusa jika kontraknya tamat, maka berakhirlah takdir dan waktunya pada pandangan mata Tuan Azhan. Ketika itu tiada lagi hari jumaat yang indah, tiada lagi dia berangan tinggi.

…aku sebenarnya ada, menyimpan kasih padamu….tapi, zahir tak terucap…dendangan lagu sedih itu seakan tahu yang dirinya pasrah atas segalanya. Suzi membiarkan sahaja titisan jernih menuruni pipinya yang gebu. Biarlah jika Hana tahu, dia tak peduli lagi.

Post a Comment

0 Comments

close