Pendidikan Dan Kerjaya

Ad Code

Cerpen : Cinta Kenangan Silam

Bella langsung tidak menyangka kerana ingin mengejar masa, dia telah tertinggal barang berharganya. Tidak terfikirpun yang nasibnya akan jadi begini hari ini. Biasanya dia akan menyusun jadual hariannya dari pagi hinggalah petang dan tahu dengan siapa dia harus berjumpa pada hari tersebut. Tetapi tidak pula berlaku padanya pada hari ini. Semuanya jadi tunggang langgang dan dunia rasa terbalik gara-gara barangan berharganya itu. Argh!! Macam mana ni? Bella rasa malu mahu keluar dari keretanya. Apa orang lain akan kata? Takkan dia mahu serbu pejabat orang dengan muka selamba. Mana letak maruah yang dipelihara selama ini?


Bella terbongkok-bongkok menyelongkar bonet keretanya. Dia yakin pasti ada satu yang tertinggal setelah dia mengemas ruang bonet itu semalam. Yang dia gatal sungguh vakum semua ruang siapa suruh? Sekarang dia sendiri yang kepanasan mencari barang paling berharga tersebut buat dirinya pada masa dan ketika ini.

"Cari apa?"

Satu suara menegur.

"Saya tertinggal ka..."

"Patutlah. Dah agak dah...dari tadi saya dok perhati...cantik juga awak tanpa itu ya..."

Mulut lelaki itu dimuncungkan ke bawah dan serentak itu juga mata Bella ikut melorot ke bawah. Kurang asam!

"Buat apa datang LHDN ni?"

"Ada meeting."

"Pukul berapa?"

"Lebih kurang setengah jam lagi nak start ni..."

Bella kedengaran risau. Lelaki yang datang menyibuk itu hanya tersengih-sengih. Ada gaya nak mengurat tapi buat-buat 'don't know' pulak lepas itu. Tak boleh pakai langsung! Rungut Bella sambil mengelap peluh di dahi.

"Nah, test yang ini. Boleh pakai tak?" dengan selamba dia menghulur sepasang kasut bertumit dua setengah inci. Cantik! Desis hati kecil Bella.

"Siapa punya? Awak tauke jual kasut ke?"

"Jangan banyak songeh, boleh tak? Test dulu baru bayar kemudian..."

"Bukan awak pinjamkan saya sekejap aje ke?" Bella merungut.

"Siapa yang nak pakai bekas kaki awak tu, tak malu."

Lelaki itu meninggalkan Bella begitu sahaja. Dan Bella pun ikut berbuat begitu, meninggalkan keretanya dan dengan selamba mengenakan kasut cantik berwarna hitam itu lalu mengekori lelaki tersebut yang sudah jauh di hadapan. Bella langsung tak terperasan yang kasut itu begitu 'ngam' dengan saiz kakinya. Dengan mengenakan barang berharga itu dikakinya, langkahnya menjadi yakin dan maruahnya kembali teguh.

Pintu bilik mesyuarat ditolak. Serentak semua mata yang berada di dalam bilik itu memandang ke arah pintu. Okey! Okey! Aku tahu aku terlewat tetapi janganlah semua mata terjah dan bulat macam nak makan aku!! Bella merungut dalam hati dan menyumpah diri sendiri. Ini semua semata-mata kerana sepasang kasut! Sumpah, dia takkan vakum kereta dan kemas semua barang lain kali. Biarlah bonet keretanya penuh membukit dengan segala barang asalkan dia tidak dimalukan macam ini!!

"Silakan duduk cik puan..." satu suara memecah kebuntuan.

Argh!! Dalam ramai-ramai makhluk Tuhan dimuka bumi ini, mengapa aku seorang sahaja wanita dalam bilik mesyuarat ini? Apakah dosaku YA ALLAH...Bella merenung diri. Dan secara automatiknya, mata-mata jantan di dalam bilik mesyuarat itu silih berganti cuba menarik perhatiannya, menunjukkan kebolehan masing-masing dalam melontar idea dan ada yang buat lawak bodoh. Hampir berjam juga Bella terperangkap dengan mesyuarat dengan pihak LHDN tentang polisi baru yang bakal dipraktikkan di jabatannya.

"Leganya rasa..." Bella mendepangkan tangan dan meluruskan kaki di hadapan pintu lif. Dia sudah tak sabar untuk kembali ke pejabat dan biliknya yang berhawa dingin.

"Nak blah macam itu aje..."

Bella segera menoleh. Lelaki asing ini lagi muncul tanpa dipamit. Bella memandang kasut di kaki. Berapa agaknya harga untuk sepasang kasut berjenama yang melekat dikakinya.

"Tak. Bukan macam tu. Saya dah boring sangat ni, sebab tu nak cepat-cepat keluar dari bangunan ini."

"Ya ke? Bukan nak curi kasut mahal saya tu...?" Lelaki itu menyengih lebar.

'Tak kuasa! Macamlah aku tak mampu...' luahan yang hanya terlepas di dalam hati Bella seorang.

"Kalau awak nak suruh saya bayar, cakap sekarang. Saya akan bayar berapa pun yang awak sebutkan..." Bella berasa geram. Bibirnya sudah diketap ketip.

Lelaki itu siap berpeluk tubuh menghadap Bella. Pintu lif sudah beberapa kali terbuka bagi memberi ruang Bella masuk. Tetapi kerenah lelaki berlagak gara-gara sepasang kasut itu tidak membenarkan Bella bergerak selangkah pun.

"Okey. Awak kena bayar saya dengan sepinggan nasi beriyani berlaukkan daging masak kurma dengan segelas sirap bandung berperisa jagung...hrmm...amacam? sanggup?" lelaki itu mengacah-acah di sisi Bella.

Bella memandang wajah lelaki it tidak berkelip. Nak layan ke tidak orang yang tidak dikenali ni? Kalau ikut aje, nanti dikata wanita murahan. Tak boleh! Tak boleh! Aku ada maruah! Tetapi, bagaimana dengan jasanya menyelamatkan aku pagi tadi? Hati Bella berbolak balik membuat keputusan. Dia mesti pantas. Ya atau Tidak!

"Takkan belanja makan seringgit dua tak ada duit kot?" lelaki itu semakin berani menyakat.

"Kalau hari ini tak sempat. Lain kali boleh?" Bella memohon pengertian.

"Kalau macam gitu, kasut tu awak pakai lain kalilah. Kali ini dan saat ini saya nak balik kasut saya itu." sengihan lelaki itu semakin lebar.

Fuh!! Memang dasar lelaki buruk siku!

"Okeylah...mari saya belanja awak." akhirnya Bella mengalah.

"Macam itulah wanita idaman saya."

Lelaki itu mengusik buat sekian kalinya dan kali ini jantung Bella betul-betul mahu terkeluar. Itu bukan gurauan santai, okey...dan selama ini hatinya yang direndam dalam ais dipergunungan bersalju seolah-olah sedang mencair sedikit demi sedikit. Tidak Bella! Kau tidak boleh rapuh! Kau tidak boleh tewas! Gelungan nafasnya bersimpang siur di dalam dada. Namun Bella cuba juga melangkah menuju keretanya. Belum sempat tangannya membuka pintu kereta, dunia terus berputar laju dan pandangannya menjadi kelam dan hitam.

***

"Dia baru baik dari trauma. Kemalangan yang melibatkan Bella dan orang tersayang sungguh tragis. Mereka dalam perjalanan honeymoon ke Bali. Kereta yang mereka naiki telah terlibat dengan insiden langgar lari. Suami dia meninggal dunia. Dan Bella, telah ditinggalkan selama-lamanya dalam dunia ini sebelum sempat dia mengacapi kebahagiaan. Dia sedang berjuang untuk melupakan kesakitan dan kesedihannya. Mungkin Zin telah melakukan sesuatu yang menyuntik kembali kenangan silamnya..."

Orang tua itu melepaskan keluhan. Bella sedang lena beradu setelah doktor menyuntiknya sebentar tadi. Bila sesekali dia tersedar, ingatannya seolah berada diawangan. Tatapan Zinn hanya dipandang sepi. Entah apa yang sedang Bella fikirkan, semua orang tidak tahu. Ayahnya hanya boleh berdoa dan menenangkan Bella jika gadis itu tiba-tiba menangis.

"Maafkan saya pak cik. Saya telah menyusahkan pak cik sekeluarga. Maafkan keterlanjuran kata-kata saya..." Zinn meluah kesal dihati.

"Tak mengapa. Zinn pun bukannya tahu apa yang sedang Bella hadapi. Korang pun tak mengenali, kan? Berdoalah supaya dia cepat sembuh seperti sebelum ini." Ayah Bella berkata jujur.

"Kalau pak cik izinkan, saya mahu berkawan dengan anak pak cik. Saya sanggup mengubati kesedihannya, pak cik. Saya mahu bertanggungjawab."

Ayah Bella ketawa polos. Apa yang direpekkan oleh anak muda ini? Bukan dirinya yang boleh membuat keputusan. Hanya Bella yang boleh mengubah nasib dan masa depannya.

"Tanyalah pada Bella sendiri nanti. Pak Cik hanya orang tuanya yang mahukan yang terbaik untuk anak kami."

"Saya faham pak cik."

Zinn meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Terkenang peristiwa dia mengusik Bella, hatinya terasa pilu. Kalaulah dia dapat membaca kelukaan hati seorang Bella, mati hidup balik pun dia tidak akan tegar bertindak begitu.       
       

***

Saat mata Bella terbuka dengan luas, pandangan matanya tertusuk pada sepasang mata yang juga secara kebetulan sedang memandangnya. Secara perlahan-lahan Bella menguntum senyum walaupun dia terasa janggal sekali. Tersenyum dan berasa janggal pada masa yang sama, lagi-lagi kepada manusia asing yang tak pernah diketahui namanya. Akhirnya situasi itu kelihatan canggung. Bella tak tahu nak berkata apa, dalam hati berdoa semoga muncullah ahli keluarganya dalam bilik bersuhu sederhana sejuk itu.

"Lama betul awak tidur."

"Tapi saya ada juga terjaga sekejap-sekejap...tak nampak awak pun."

"Yang sekejap tu saya tak ada, tapi yang lama awak tidur tu saya ada..."

Bella tersenyum pahit. Tekaknya terasa kelat dan payau. Entah berapa pain air dimasukkan ke dalam badannya, dia pun tak ingat. Badannya masih lemah. Fikirannya juga masih bersimpang siur. Ingatan terhadap sang kekasih hati pun masih kejap di sanubari. Akhirnya hanya keluhan berat yang menemani kesunyian di bilik hospital itu.

"Maafkan saya, siapa nama awak?"

"Zinn."

"Pendeknya."

"Mudah nak diingati." Zinn tersenyum memuji keunikan namanya yang ringkas.

"Hrmm...terimakasih sebab awak ada tunggu saya kat hospital ni. Itu pun famili yang bagitahu. Kalau tak, saya tak tahu pun ada strangers yang menemani saya sepanjang masa."

"Tak mengapa. Awak tak tahu pun tak apa. Saya tak kisah."

"Saya tak sihat..." nada suara Bella semakin perlahan.

Zinn terkedu. Rasa bersalahnya semakin membukit lantaran dirinya menjadi punca kenangan silam Bella menjelma silih berganti. Insiden yang dialami oleh Zinn dan Bella adalah umpama pengulangan kisah perkenalan antara Bella dan arwah suaminya. Sebab itu Bella seolah-olah mengalami deja vu, dia merasakan suaminya masih hidup, hinggakan fikirannya menerawang lalu emosinya terganggu semula.

"Awak janganlah fikirkan sangat. Saya bukan penjahat yang perlu awak takutkan. Saya datang sebagai kawan, kawan yang rasa bersalah sebab jadikan awak begini semula..."

Bella mengukir senyuman tetapi ia sekadar senyuman hambar. Dia tidak merasai apa-apa pada saat dan ketika ini.

"Awak kena tabah."

"Berat mata memandang, berat lagi perasaan saya menanggungnya."

"Bersabarlah. Ingatan itu awak jangan paksa ia pergi, biarkan ia bersemadi dalam memori awak. Ia boleh hidup dalam diri awak sampai bila-bila Bella, tetapi awak kena seimbangkan dengan dunia realiti. Awak kena hadapinya, bukan cuba padamkan ia. Itu yang buat awak semakin sakit. Awak memaksa diri..."

***

"Kenapa awak masih datang jenguk saya? Saya dah sihat, Zinn."

"Saya masih rasa bersalah kepada awak. Saya harap awak dapat maafkan saya dengan ikhlas. Saya sedia terima apa sahaja hukuman yang awak kenakan asalkan awak boleh maafkan saya."

"Dah lama saya maafkan awak. Awak jangan risau. Saya bukan seorang yang menyimpan dendam. Saya tak marah. Awak bebas sekarang..."

"Terima kasih. Awak masih bercuti lagi ke?"

"Minggu depan start kerja balik. Why?"

"Jom temankan saya lunch."

"Tak mahu."

"Kenapa? Takut?"

"Bukan. My famili dah masak untuk saya."

"Penolakan awak buat saya malu. Saya berprasangka awak belum maafkan saya sepenuhnya." Zinn bernada merajuk.

"Jangan nak putar belitkan cakap saya yang tak ada makna tersirat ya..." Bella mengusik balik.

"Hah! Tengok tu, awak yang salah faham. Saya cuma nak ajak awak lunch. Sudi ke?"

"Awak ni...langsung tak nak mengalah."

"Cuba selagi daya, itu yang saya cuba buat."

"Cuba apa?" Bella mencerlung merenung Zinn.

"Menjadi sebahagian kenangan silam awak."

Bella terus diam tanpa menjawab sepatah kata.

Post a Comment

0 Comments

close