Pendidikan Dan Kerjaya

Ad Code

Cerpen : Ramadhan Sepi

"Assalamualaikum pembaca tersayang,

Saya hasilkan cerpen ini bukan kerana saya pandai atau memandai-mandai, tetapi saya hasilkan cerpen ini kerana sebuah kerinduan. Cerpen ini adalah sebuah cerpen pembangunan jiwa, yang saya tuliskan dengan segala kekurangan yang saya ada. Maafkan andai segala kandungan cerpen 'Ramadhan Sepi' ini kurang digemari. Kerana sesungguhnya, Ramadhan datang setahun sekali..."      
********************************************************************



“Sorr…Sorry! Maafkan saya!”

Ratna memungut kertas dan pennya yang terjatuh di atas kaki lima sekolah. Dia mahu cepat melangkah keluar dari bilik guru. Sebentar tadi dia baru sahaja disuruh menyanyikan lagu sekolah menengah yang baru dihuni dua hari. Dalam dua hari, mana sempat dia menghafal melodi lagu sekolah barunya. Entah apa nama cikgu perempuan tadi, Ratna pun tak sempat membaca name tagnya. Disebabkan sebal dengan ‘denda’ yang diterima, Ratna berlari keluar yang akhirnya melibatkan dia dengan insiden pelanggaran dengan budak lelaki itu.

“Tak mengapa. Budak baru ya?” soalnya dengan senyuman.

Ha’ah. Mana tahu?” itu soalan yang Ratna sempat keluarkan dari mindanya.

“Warna baju…”

Ratna memandang baju sendiri. Baru dia perasan yang pelajar tingkatan enam di sekolah itu mengenakan pakaian berbeza.

“Tapi baju awak…”

“Kenapa?”

“Tak sama dengan saya.” Ratna sangkakan budak lelaki itu pun sepertinya, pelajar tingkatan enam bawah yang sedang menjalani minggu orientasi.

“Oohh…aku form five.”

“Oohhh…” Nganga mulut Ratna lebih besar.

“Jangan buka mulut tu besar sangat. Nanti masuk lalat.”

Dalam tak sedar Ratna tersenyum sambil menutup mulutnya. Insiden itu tamat begitu sahaja tetapi senyuman budak lelaki itu selalu hadir dalam waktu lapangnya. Senyuman itu ikhlas dan menawan hati. Semoga nanti dia berkesempatan bersahabat dengan budak lelaki itu. Entah mengapa terdetik di hati mahu berkawan dengan budak lelaki itu. Kalaulah ada masa yang cukup…Ratna meraup mukanya sambil dalam hati menitipkan doa kepada Yang Esa.  

***

Ratna menunggu di pintu pagar sekolah. Budak lelaki yang dikenali dari insiden pelanggaran di hadapan bilik guru itu bernama Yazid. Kini Ratna sedang menunggu Yazid untuk sama-sama berjalan balik ke asrama. Hanya Ratna yang duduk asrama sementara Yazid berulang alik ke rumahnya dengan menggunakan bas sekolah. Kini mereka berdua sudah menjadi sahabat baik yang akrab. Ke mana sahaja pergi mereka tetap bersama. Namun satu yang Ratna jaga sentiasa, biarpun serapat dan seakrab mana perhubungan tersebut, tetap ada pemisah dan halal haram perhubungan manusia yang bukan muhrim yang dipeliharanya.   

"Ratna, ustazah Rashidah nak jumpa kat bilik guru selepas waktu sekolah."

Iryanti berlalu begitu sahaja selepas menyampaikan pesanan tersebut. Ratna tak sempat bertanya lanjut.

"Kenapa ustazah nak jumpa kau?"

Ratna menggeleng. "Mungkin nak bincang pasal program puteri islam."

"Take care. Kekadang semua orang mengaku aje dirinya ustazah tetapi perangai sebaliknya. Orang kata ustazah hanya pada gelaran dan jawatan..."

"Tak baik cakap macam itu. Dalam al-Quran pun ada nyatakan...jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa."

"Aku bukanlah nak bersangka tak baik...tapi aku tak suka dengan dia." 

Ratna mendengar sahaja hujah yang dikeluarkan oleh Yazid. Setiap orang ada pandangan masing-masing, terpulanglah bagaimana Yazid membuat persepsinya terhadap ustazah Rashidah.

***

Ratna beristighfar di dalam hati tatkala mengingati perbalahan kecil antara dirinya dengan ustazah Rashidah tengahari tadi. Ustazah yang bertudung litup itu meninggalkan pesanan dan nasihat yang panjang lebar kepada dirinya. Betul kata Yazid, berhati-hati. Kerana, kebanyakan kata nasihat yang dizahirkan banyak mengutuk dan memburukkan Yazid. Pada pandangan ustazah, keakraban dengan Yazid boleh menjerumuskan Ratna ke kancah maksiat. Namun sebelum berpisah dengan ustazah, Ratna sempat membisikkan,

"Ustazah, apa yang ustazah katakan itu saya hanya boleh jawab, wallahhua'lam. Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah jika kita tak confirm lagi tentang sesuatu..."

Ratna beristighfar sekali lagi. Bayangan putih yang kebelakangan ini melintasi ruang pandangnya secara sekelip mata amat membimbangkannya. Orang kata jika kita selalu diserang benda-benda pelik begini mungkin pandangan mata kita nak rosak, ataupun ada penyakit lain yang kita hidapi. Ratna sendiri kurang pasti. Teman sebilik kerap menggesanya membuat pemeriksaan tetapi Ratna berdegil mengatakan tubuh badannya masih sihat dan tiada tanda-tanda yang dirinya sakit.   

Malas membuang masa tak tentu fasal, Ratna tergerak untuk menulis surat kepada Yazid. Bila teringatkan pertengkaran dengan ustazah Rashidah, semakin mendalam gesaan nalurinya untuk menulis sesuatu buat sahabat barunya itu.

Sahabatku Yazid,


Saya hanya singgah sementara pada dahan hari yang pendek ini. Dalam perjalanan ini, saya dipertemukan dengan insan istimewa yang tidak istimewa di mata yang lain, tetapi semua manusia tetap istimewa pada pandanganNya. Saya sungguh terharu, dalam keterbatasan hubungan ini, awak masih mendengar kata-kata saya dan masih ada sifat malu pada orang lain. Pada luarannya awak nampak kasar, mat rempit, ponteng sekolah, melawan cikgu (sebab itu awak tak suka ustazah, kan?) dan awak juga menghisap rokok. Tetapi sebenarnya awak perlukan teman dan sahabat. Awak perlukan seseorang yang boleh awak sandarkan, dan kita ditakdirkan bersahabat dengan yang berlainan dunia dan jantina. Apakah kita salah kerana berkawan? Apakah kita jahat hanya kerana berkawan dengan orang jahat? Tentu tidak, bukan?


Sahabat seagamaku,


Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. Alangkah indahnya kalam ALLAH ini, sahabatku. Selalu saya dengar kisah-kisah sedih keluarga awak dan sejarah sedih awak. Kenapa awak mesti rasa kecewa kerana ALLAH dah janjikan yang awak dan kita semualah yang paling tinggi darjatnya jika kita orang yang mengingati ALLAH. Tak susah Yazid, jadilah insan yang beriman.


Yazid adikku,


Ingatan dan nasihat sahabatmu ini yang terakhir, jadikanlah sabar dan solat sebagai sebagai penolongmu, memang tak mudah bagi awak, tetapi percayalah pada janji TUHANMU...   

Sahabat mu & kakakmu,
Ratna Saifullah 

***

Cuti semester bermula. Ratna kembali semula ke kampung halamannya. Dia teringatkan sahabatnya, Yazid. Beberapa bulan ditinggalkan, bagaimanakah perubahan yang berlaku. Atau apakah Yazid tetap begitu?

“Awak tak bersolat? Betulkah? Sejak bila?”

Ada juga solat, tapi jarang-jarang…”

“Emak dan ayah awak?”

“Tak tahu.”

Apakah jawapan Yazid itu sebagai satu cara melepaskan diri dari soalan Ratna ataupun dia sendiri tidak tahu tentang jawapannya. Ratna hanya tenang mendengar.

Cuba awak mulakan hari ini. Balik nanti awak cuba solat Zohor. Kemudian diikuti dengan solat seterusnya bila sampai waktu. Kalau awak dapat buat lima kali sehari solat fardu tersebut, teruskan sampai lima hari. Bila masuk hari ke enam, awak tidak bersolat, awak akan rasa sunyi dan sepi. Awak akan rasa rindu pada saat-saat pertemuan dan bersendirian awak denganNya…”

“Aku tak biasa. Aku tak tahu aku boleh buat ataupun tidak. Lagipun, aku dah lama tak buat benda ni…”

Yazid tunduk memandang kasutnya.

Astaghfirullah…kembali kepada jalan yang lurus, Yazid. Saya pun bukannya baik sangat. Saya pun tak sempurna. Tetapi saya nak kita sama-sama menjadi sempurna di mata Yang Maha Pencipta. Saya sahabat awak dan awak sahabat saya. Sebagai seoragn sahabat, saya mahu kita sama-sama berjaya di dunia dan di akhirat.”

“Kenapa kau baik sangat dengan aku, Ratna? Ahli keluarga aku semuanya buat hal masing-masing. Tak pernah pun mereka ingatkan aku pasal benda-benda ni. Aku malu betul dengan kau, Ratna.”

Ratna tersenyum. Hatinya pun ikut bersyukur. Sedikit demi sedikit perasaan Yazid telah menjadi halus. Lama kelamaan ia akan jadi basah dengan doa dan pujian-pujian terhadapNya. Itu harapan dan doa Ratna terhadap sahabatnya itu.

“Malu awak tu sifat yang baik. Tetapi kalau awak malu dengan ALLAH lagi afdal. Malulah kerana ALLAH, bukan kerana saya.”

Yazid menatap bening mata Ratna. Biarpun ada jarak antara mereka, biarpun keadaan di ruang kantin itu hingar bingar dengan suara orang berbual dan ketawa, Yazid tetap merasakan hanya Ratna yang ada di depannya. Gadis itu sangat istimewa.

“Esok dah nak puasa. Itu pun satu lagi peluang kita nak buat pahala. Selalu TUHAN bagi kita chance tetapi kita pun tak ambil peluang itu. Bulan ramadhan ni panjang tempohnya, sebulan tau. Kalau awak nak tahu pelajaran asas yang selalu saya dengar dan baca….orang yang berpuasa ni, tidurnya adalah ibadah, nafasnya bau wangi syurga, doa orang-orang yang puasa ni mustajab iaitu minta apa pun TUHAN akan makbulkan. Tapi kena minta dengan sungguh-sungguh dan dengan rendah hati.”

“Iya ke?”

“Iya…kalau awak ada masa, bacalah buku ini.”

“Buku apa ni?”

“Kalam Allah.”

“Kalam Allah? Aku tak faham…”

“Kitab tafsir al-Quran. Ada terjemahan yang panjang lebar atas sesuatu ayat. Awak ambillah.”

“Bagi aje?”

“Anggaplah ia hadiah dari seorang sahabat bernama Ratna.”

Ratna tersenyum lagi. Yazid tidak tahu rahsia ALLAH tentang senyuman Ratna itu. Kalaulah Yazid tahu... 

***

1 Ramadhan enam tahun lalu...

Yazid menangis di atas sejadah selepas usai memberi salam. Airmatanya tak berhenti mengalir. Semenjak mendapat hadiah tafsir al-Quran pemberian Ratna, dia telah sedikit demi sedikit berubah. Pada saat membaca terjemahan maksud ayat dari Surah Al-Fatihah, hatinya jadi sayu tiba-tiba. Iyyakana'buwaiyyakanasta'in.  (Hanya KepadaMulah kami berserah dan kepadaMulah sahaja tempat kami memohon pertolongan). Kemudian daripada itu, Yazid tak henti-henti memohon pertolongan dan keampunan daripada ALLAH. Dia menyerahkan dirinya yang sesat dan kotor kepada Maha Penciptanya.

Tambah sebak hatinya apabila rakan sekolah mereka membawa khabar buruk. Eh! Bukan sebenarnya. Kematian bukan khabar baik atau buruk tetapi jika kematian itu lebih baik baginya, jika pemergian selama-lamanya itu lebih baik bagi Ratna, Yazid redha. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya juga kita kembali...Yazid terasa kehilangan seorang sahabat tempat dia bersandar. Yazid begitu sepi menyelusuri hari-harinya tanpa ingatan indah daripada mulut Ratna. Gadis istimewa itu tidak pernah berhenti mengajarkannya kalam-kalam ALLAH dalam setiap perbualan mereka. Dalam lembut ada tegasnya. Tetapi...hari ini Yazid terasa sepi, sunyi dan hening melalui hari-hari awal Ramadhan.

Sebenarnya hati ini cinta kepada Mu
Sebenarnya diri ini rindu kepada Mu
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu takkan ber bunga

Ku cuba menghulurkan
Sebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri

Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmat Mu
Jika tidak menagih simpati
Pada Mu ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasih Mu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu
Moga ku tahu
Syukur ku hanyalah milik Mu
***

1 Ramadhan 1433H...

"Anak..."

"Nak..."

Tubuh Yazid di tepuk lembut. Matanya yang pedih dibuka perlahan-lahan. Di mana aku? Apakah aku sudah mati? Apakah Malaikat yang mengejutkan aku? Apakah aku akan di campakkan ke dalam kawah api yang menyala merah kerana kehinaan dan kejahatan masa laluku?

"Tolong aku! Tolong jangan campak aku! Tolong aku wahai..."

"Wahai apa nak? Kamu mengigau...Sekarang dah masuk waktu Subuh. Bangunlah dan ambil Wuduk..." seorang pak cik berserban putih menyapa lembut.

"Astagfirullah...aku masih hidup rupanya..."

Pak Cik itu hanya menggeleng tanda tidak mengerti dengan bisikan lembut yang terkeluar dari mulut Yazid.
***

Yazid menatap hujan gerimis yang turun dari birai tingkap. Ramadhan hari ke tujuh, bermakna telah genap tujuh hari juga dia berpuasa. Kini dia berupaya melawan nafsu yang meluap untuk merokok. Jika tidak, dahulu dialah orang pertama menunjuk-nunjuk yang dirinya tidak berpuasa. Entah mana rasa segan dan malu, yang ada hanyalah kesombongan diri dan bongkak dengan kemampuannya. IyyaKana'buduwaiyyakanasta'in...hanya padamu aku berserah dan hanya padamu tempat aku memohon pertolongan...Yazid berulang-ulang menyebut ayat  dari Surah Al-Fatihah itu. Air matanya menitik lagi...dia malu. Malu kepada ALLAH. Masihkah ALLAH menerima penyerahan dirinya ini? Mahukah ALLAH menerima dirinya yang hina sebagai ganti akan ketenangan yang Yazid mahukan? Ratna...inikah yang kau hadiahkan...rindu, kerinduan yang tidak bertepi. Rupa-rupanya kau mengajarkan aku untuk merindui Yang Maha Pengasih, tetapi layakkah aku, Ratna? Layakkah aku?? Gerimis di hati Yazid makin menggila. Setelah bertahun berlalu, dia tidak bisa membuang bayangan Ratna di setiap perjalanannya.

"Saya ada baca satu kisah. Pada satu ketika dahulu Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Selepas Nabi itu mengerjakan wahyu yang diterima, dia berdoa kepada ALLAH memohon petunjuk tentang kelima-lima perkara tersebut. Dan dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh ALLAH s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga, jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.  Keempat, jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Yazid teringat-ingat kisah yang diceritakan oleh Ratna kepadanya satu ketika dahulu. Waktu itu dia mendengarnya ala kadar sahaja kerana pintu hatinya masih penuh dengan ego. Baginya Ratna sekadar sahabat tempat dia mencari sandaran bila kesepian. Alangkah bodohnya diri, tidak bijak menilai bahawa Ratna hadir sekadar pinjaman. Dan, Ratna hanyalah perantara yang ALLAH turunkan kepadanya untuk berubah. Dan mutiara itu telah ALLAH ambil kembali ...

"Kenapa kau tak pakai tutup muka macam perempuan-perempuan tu?" Yazid teringat lagi perbualannya dengan Ratna.

Ratna tersenyum. Jawapan itu bukanlah sukar untuk diluah.

"Cukuplah saya menutup aurat yang sepatutnya...Islam tidak membebankan kita."

"Aku ingat tutup aurat yang betul untuk perempuan adalah bila kita tutup semuanya."

"Ikut keselesaan masing-masing. Yang penting ikut syariat..."

Dan Yazid terbayang lagi, redup mata gadis istimewa itu begitu menenangkan. Raut wajahnya jernih, sebersih air di kolam.

"Macam mana aku nak dapat raut wajah yang tenang macam kau, asyik tersenyum aje..."

"Senang aje, kan saya dah cakap. Bersolatlah...kerana dalam solat itu terdirinya tiang agama iaitu lima rukun islam. Iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji."

"Macam mana dalam solat kita lakukan lima perkara tu?"

"Bacalah tafsiran kalam ALLAH yang saya bagi..."

"Lecehlah..."

"Bacalah..."

"Bacalah..."

Yazid memeluk kitab tafsir al-Quran pemberian dari Ratna buat kesekian kalinya. Entah kali ke berapa hari ini airmatanya tumpah lagi. Kerinduan pada Ratna tika mengalunkan kata-kata semangat begitu mendalam. Ya Allah, ampunkan hambamu ini, jika aku terlalu rindu padanya, aku tak mampu...untuk menolak rasa ini, kerana aku seorang manusia biasa... 
"Yazid...ada orang nak jumpa."

Yazid menuju ke pintu masjid. Itulah rumah keduanya jika dia tidak mengajar. Disitulah dia menghambakan diri kepada Sang Pencipta. Tempat dia mengimbau kerinduan pada ayat-ayat indah kalam ALLAH yang pernah diajarkan oleh Ratna.

"Siapa tadi yang cari saya?"

"Ain cikgu, dia terjumpa surat ini kat bilik asrama. Ada nama serupa nama cikgu. Jadi, kami rasa cikgu yang layak terima surat ini."

Tiga sekawan anak dara pingitan itu pun berlalu dengan tersipu-sipu selepas Yazid memberi salam. Yazid memilih satu penjuru lalu membuka surat yang sudah agak kuning warnanya. Dadanya berdebar saat membaca nama sang pengirim. RATNA SAIFULLAH. Ditulis enam tahun yang lalu.

Yazid tersandar kesedihan. Ramadhan kembali sepi apabila nama itu menyegarkan sebuah ingatan. Air mata semakin lebat turunnya tatkala menghabiskan ayat terakhir surat kiriman Ratna. Sebuah kiriman yang tertunda... satu rahsia ALLAH.       

Post a Comment

1 Comments

  1. subahanallah....semua nya rahsia allah..hidayah allah tidak mengira bagaimana sifat seseorg itu,w/pun jahat dan zalim sekalipun sekiranya allah hendak dia berubah..allah akan datangkan dengan pelbagai cara meskipun melalui org lain ..subahanallah..cerita yang menarik padat dengan nasihat dan sungguh memberi kesan pada jiwa..tahniah

    ReplyDelete

close