
Biodata Penulis Terkenal Aisya Sofea
![]() |
Aisya Sofea |
AISYA SOFEA atau nama sebenarnya Hanizura Jamaludin adalah seorang penulis berbakat besar. Anak sulung yang dilahirkan di Kelang, Selangor dan memiliki lima orang cahaya mata yang sedang membesar ini mula mengukir namanya melalui JAUH, novel pertama yang mendapat sambutan menggalakkan. Namanya mula meniti di bibir peminat setelah kejayaan cemerlang JENDELA HATI.
Antara novel tulisan Aisya Sofea adalah Adam & Hawa, Sehangat Asmara, Kau Untukku, Jendela Hati, Jauh, Gelora Jiwa, Selagi Ada Dia, Buatmu Kekasih, Uda & Dara dan Yang Sebenarnya.
Kini Aisya Sofea kembali dengan SEHANGAT ASMARA. Kisah percintaan sepasang kekasih yang kemudian bernikah di UK tanpa restu keluarga. Mereka terpisah apabila sepucuk telegram meminta si suami pulang ke Malaysia. Sejak itu, sembilan tahun lamanya mereka terpisah tanpa khabar berita!
Dan yang terkini setakat Ogos 2013, Aisya Sofea menghasilkan sambungan novel Adam & Hawa yang bertajuk Dekatnya Cinta. Ia mengenai kisah bagaimana doa Adam Mukhriz dan Ain Hawani di bawah Multazam di Masjidilharam telah dimakbulkan ALLAH S.W.T. Kini, mereka mengutip makna cinta yang tertinggal sebelas tahun lalu. Untuk kali kedua, mereka saling jatuh cinta kembali.
Namun, kebahagiaan mereka tiba-tiba dipanah petir. Dugaan datang menyihir dua hati. Sejambak bunga ros di tangan Ain mencetus prasangka Adam. Siapa yang beri? Cemburunya merasuk apabila terlihat isterinya bersama lelaki lain. Itukah lelaki yang selalu Ain puji? Akhirnya, Adam melafazkan talak.
Sekujur tubuh Ain bagai kaca yang terhempas. Tangannya menggigil menadah takdir. Sekali lagi hatinya dipalu pilu. Adam salah faham. Dia cuba menyuarakan semua itu tapi Adam enggan lagi mendengar. Arissa dirampas pergi! Ain sudah tidak punya apa-apa. Status bekas isteri menjadikan dia hampir mati.
Semoga penulis kesayangan saya ini terus menghasilkan karya-karya yang baik dan memberikan manfaat kepada kita semua.
0 Comments