Pendidikan Dan Kerjaya

Ad Code

NOVEL: MENGAPA DI RINDU 4

Hazzim membuka laptopnya setelah selesai menunaikan perkara yang fardu terhadap Yang Esa. Walaupun tubuhnya berasa letih kerana seharian terperuk di pejabat, dia tetap gembira dan senang hati menemankan Kamal mencari benih ikan petang tadi. Dia dapati anak muda itu berpotensi untuk pergi jauh dalam perniagaannya. Apa salahnya dia membantu apa yang perlu. Bukankah dia lebih dari mampu? Untuk apa wang ringgit dan kemewahan yang berlambak jika ianya tidak digunakan?

Hazzim menyandarkan tubuhnya di kerusi sambil menghadap laptopnya. Skrin komputer yang terang sedikit menyilaukan. Dia sengaja tidak memasang lampu tidur. Suasana malam yang hening menimbulkan satu rasa yang sukar ditafsirkan dengan kata-kata. Perasaan ingin dikasihi begitu mendekat di hati. Perlahan-lahan pertemuan dengan gadis itu menghiasi tubir mata. Kejadian pagi tadi sudah cukup membuatkan hari dilalui begitu indah sekali.

Dia tersenyum melihat e-mel yang dikirim kepada gadis yang diminatinya itu dibalas. Walau hanya beberapa baris, ia cukup menjadi ubat kepada kerinduannya. Sesekali dia merasa bersalah kerana terpaksa mendekati gadis itu tanpa izin, tanpa kebenaran. Dia meminta stafnya menyamar sebagai Mizah, nama samaran yang digunakan untuk ber’bual’ dengan gadis itu di alam maya.

“Tak salah ke apa yang kita buat ni, bos?” Adira meminta kepastian.

“Tak. Awak jangan risau. Tolong untuk seketika saja, nanti bila saya dah jadi dengan dia, kita buanglah nama Mizah tu…”

“Kalau suruhanjaya komunikasi dapat tahu…”

“Ha…ha…ha…Adira…, Adira. Sampai ke situ pulak awak ni.”

“Buat apa nak menyamar semua ni, bos. Terus terang aje tak boleh?”

“Tak boleh. Tak boleh! Dia dah ada boyfriend.”

“Kalau tahu dia dah berpunya kenapa bos nak kacau daun. Tak baik, bos.”

“Eh! Awak ni. Tolong sikit dah banyak songel. Boleh ke tidak?”

“Terpaksalah. Saya kuli aje, terpaksalah kata boleh.”

“Ikhlas tak nak tolong saya ni?” soal Hazzim kepada stafnya itu.

“Macam mana nak ikhlas kalau kena menyamar…” bebel Adira perlahan.

Hazzim tersenyum meleret apabila Adira bersetuju menolongnya. “Kalau saya dapat tackle dia, saya belanja. Okey.”

“Nak tanya bos, kenapa guna nama Mizah. Tak glamour langsung.”

“Itu rahsia saya.”

Hazzim mengeluh. Perbualan dengan Adira menerjah fikirannya. Dia bangun berdiri di tingkap yang menghadap ke jalan. Kelihatan dari jauh bilik pengawal yang terang benderang. Tentu Pak Din yang berkawal malam ini kerana pagi tadi dia juga ternampak Pak Din di situ. Dia tidak pasti bagaimana susun atur jadual untuk pengawal-pengawalnya. Yang dia tahu, dia gemar berbual dengan Pak Din yang agak peramah orangnya. Lagipun dia sudah menganggap Pak Din seperti pak ciknya sendiri. Ingatannya tiba-tiba terarah kepada peristiwa pagi tadi. Dia terfikir untuk berbual-bual dengan Pak Din tentang gadis tersebut.

Pak Din menjemput Hazzim duduk dengan hormat. Walaupun anak muda itu amat mesra dengannya, dia tidak boleh mengambil kesempatan terhadap anak majikannya itu. Anak muda itu kelihatan resah. Seolah-olah ada sesuatu yang ingin diluahkan.

“Hazzim tak tidur lagi?”

“Belum mengantuk, Pak Din.”

“Banyak kerja ke kat pejabat sampai Hazzim nampak keletihan. Macam tak bermaya.”

“Macam biasa, Pak Din. Kerja bila-bila pun tak akan habis.”

“Macam berat saja masalahnya. Ceritalah dengan Pak Din. Orang kata masalah kalau dikongsikan, akan jadi ringan sikit.”

“Masalah biasa…”

“Yang biasa akan jadi luar biasa kalau tak segera diatasi. Anak muda zaman sekarang lain tak macam zaman Pak Din dulu. Semangat dan setiakawan kami begitu tinggi. /kini walaupun telah berpisah bertahun-tahun masih lagi berhubungan. Masih lagi bercerita tentang masa depan dan harapan…bukan untuk kami, tetapi untuk anak-anak kami pula.” Pak Din bercerita dengan penuh semangat, sebagaimana intipati kata-katanya.

“Betul kata Pak Din tu. Erm…Pak Din berbual dengan siapa pagi tadi?” perlahan-lahan Hazzim mengubah topik.

“Oh! Yang pagi tadi tu. Yang mana satu. Seingat Pak Din hari ini ramai orang datang jumpa Dato’. Dan semuanya pun ada berbual-bual dengan Pak Din.”

“Ya ke? Yang pagi masa saya nak keluar. Siapa tu Pak Din. Macam dah kenal lama gayanya.”

“Kalau yang cantik manis tu wartawan. Buat temuramah dengan Dato’. Kenal masa itu aje, Pak Din kan memang suka berborak. Hazzim kenal dengan dia ke?” Pak Din pula menyoal.

“Tak. Saja tanya.” Hazzim berbohong.

“Berminat?”

“Apalah Pak Din ni. Saya tanya belum tentu berminat.” Hazzim menyembunyikan malunya apabila ditanya oleh Pak Din.

“Itukah masalahnya sampai buat Hazzim tak boleh tidur?” Pak Din mengusik lagi.

“Tak adalah Pak Din.”

“Jangan tipu dengan Pak Din. Dari raut wajah Hazzim Pak Din boleh baca yang Hazzim ni sedang dilamun cinta.”

Hazzim ketawa besar mendengar dakwaan Pak Din itu. Aku sedang dilamun cinta? Dia meraba wajahnya kemudian ketawa lagi. Inikah namanya cinta? Tetapi mengapa cinta membawa sengsara pada jiwaku? Mengapa tiada kebahagiaan, tiada kedamaian jika benar ini namanya cinta. Pening kepala memikirkannya.

“Kalau suka, cakap. Jangan nanti kamu merana kerana cinta. Sepatutnya cinta membawa kebahagiaan bukannya penderitaan.”

“Macam mana nak mulakan? Saya takut dia menolak saya…Pak Din.”

Kali ini giliran Pak Din pula yang ketawa. Rupa-rupanya anak muda yang penuh karisma, nampak bergaya, sering memandu kereta mewah dan ramai kenalan keliling pinggang ini pemalu orangnya. Pemalu? Ah! Semua orang jadi malu kerana cinta…

“Ucapkan…jangan simpan. Lama-lama jadi busuk, berkulat…dah tak laku. Cinta akhirnya memakan diri.” Orang tua itu berfalsafah lagi.

“Dia dah berpunya.”

“Kahwin?”

Hazzim menggeleng. “Ada boyfriend.”

“Bertunang?”

“Belum.” Jawab Hazzim ringkas.

Pak Din menghela nafasnya dalam-dalam. Benarlah sangkaannya bahawa Hazzim telah jatuh cinta dengan seorang gadis. Dan, gadis itu kepunyaan orang. Tetapi nasib baik belum bertunang ataupun berkahwin. Apa akan jadi jika gadis tersebut jadi berkahwin dengan teman lelakinya itu. Melepaslah Hazzim. Jika itu berlaku, Hazzim bakal dilanda kekecewaan.

“Cubalah. Insya’Allah mudah jalannya.” Pak Din memberikan kata-kata semangat.

Hazzim meraup muka dengan kedua tapak tangannya. Rambutnya yang lurus diusap-usap. Benar kata Pak Din, kalau tak cuba mana nak tahu jawapannya. Tetapi bukankah sudah berbulan dia mencuba?

“Tadi ada seorang gadis datang cari Hazzim. Diakah orangnya?”

“Siapa Pak Din? Dia cari saya? Siapa?” soal Hazzim serta merta.

“Pak Din tak kenal. Rambut dia ikal keperangan. Macam dah kenal Hazzim.”

“Dia jumpa Dato’ ke?”

“Tak. Tak masuk pun. Pak Din suruh masuk dia tak mahu.”

“Tak apalah Pak Din. Dah malam ni, saya masuk dulu. Terima kasih Pak Din.” Hazzim menepuk bahu Pak Din sebelum beredar.

“Terima kasih untuk apa?”

“Atas nasihat yang berguna itu.”

Pak Din tersenyum bangga kerana nasihatnya yang ala kadar begitu dihargai oleh anak muda itu. Dalam ramai-ramai anak majikannya, hanya Hazzim yang mahu berbual-bual dengannya. Dari abang sampailah ke adik-adiknya, jangan diharapkan berbual, senyum pun tidak pernah dihulurkan kepadanya.

***

“You cari I semalam?”

“Yup!”

“What’s up?”

“My lover…tak boleh cari?”

“Ex-lover.”

“Family you yang tak suka dengan I. Lagipun bukannya kita dah break pun. Still ‘on’, right?”

“Cakap biar guna otak sikit, Wida. You dengan I dah lama putus. Since last day you jumpa my family.”

“Ya ke? Bila tu…I dah tak ingat.” Gadis bernama Wida itu ketawa dibuat-buat.

“Sebab dah lama kita break off lah sampai you dah tak ingat. Itu pun you tak boleh nak faham.”

Wida terdiam. Ditatapnya wajah Hazzim yang serius. Mata lelaki itu langsung tidak memandang ke arah wanita di hadapannya. Nafasnya kelihatan turun naik seolah menahan marah.

“Lepas ini jangan cari I lagi. Ingat! Kalau my mum dapat tahu, naya you!”

“I tak takut pun. I di pihak yang benar…”

“Dulu my mum tak suka you sebab you yang buat salah. Now! Tak mengaku pulak. Sudahlah Wida. You buang masa I aje.”

Hazzim sudah bangun untuk pergi dari situ. Wida tidak dapat menerima layanan buruk yang ditunjukkan oleh Hazzim kepadanya. Dia mesti berbuat sesuatu. Dia mesti menahan Hazzim dari pergi.

“Hazzim…maafkan I. Dulu memang I silap. Sekarang I telah sedar semua kesalahan I. Bagi I peluang sekali lagi, Zim. Please…” Wida merayu sambil menangis teresak-esak.

Hazzim jadi panik. Orang sekeliling yang sedang menjamu selera di restoran itu tertoleh-toleh. Wajahnya jadi merah padam kerana menjadi perhatian. Pasti mereka menyangka aku sedang membuli seorang wanita. Apatah wanita itu bernama Wida yang memang pandai berlakon. Untuk tidak mengeruhkan keadaan, Hazzim memimpin Wida keluar setelah melunaskan bayaran di kaunter.

Wida mengambil kesempatan untuk memaut lengan Hazzim dengan kemas. Tubuhnya yang hanya dibaluti blaus sendat dan skirt pendek mencecah lutut dirapatkan ke badan Hazzim. Sepanjang perjalanan ke kereta, dia tidak langsung melepaskan pegangan tangan Hazzim.

Sewaktu Hazzim membuka pintu kereta, tidak semena-mena pandangannya bertaut dengan sepasang mata yang sedari tadi asyik memerhatikannya. Untuk beberapa ketika dia seolah-olah berada di alam lain, alam yang sunyi sepi. Hanya ada dia dan wanita itu! Jantungnya pun seolah berhenti berdegup antara terkejut atau ada satu perasaan lain yang hadir tanpa diduga. Anehnya, perasaan itu membuatkan hatinya menjadi tenang.

“Hazzim!”

“Hazzim!”

Wida merungut kerana Hazzim tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Dia yang telah duduk di kerusi sebelah pemandu ikut meninjau melalui tingkap gerangan apakah yang membuatkan Hazzimnya tercegat tidak bergerak-gerak. Tiada sesiapa pun yang dilihatnya. Jumlah pengunjung yang ramai di kawasan itu telah mengaburi pandangan Wida.

“Why?” soal Wida sebaik sahaja Hazzim menghidupkan enjin kereta.

Namun Hazzim tidak berminat terhadap soalan Wida itu. Akhirnya Wida semakin sakit hati apabila hanya dia sahaja yang berbual sedangkan Hazzim bagaikan tidak menyedari kewujudannya.


***

“Kau kenal dia ke?”

“Sikit-sikit.”

“Sikit banyak mana?”

“Kalau sikit tu, sikitlah. Mana boleh jadi banyak.”

“Aku tanya elok-elok kau janganlah marah-marah. Lain macam aje aku tengok lepas kau nampak mamat handsome tu tadi.”

“Merepeklah.”

“Aku yang tengok, okey.”

“Dan aku yang rasa, okey. Yang rasa lebih mengetahui dari yang tengok.”

“Semakin dalam maksudnya tu. Kau jealous ya?”

“Sudahlah Imah! Jangan provoke aku boleh tak. Nak makan kat mana ni?”

“Aku tak kisah.”

Alisya dan Rahimah masuk ke sebuah restoran nasi padang. Lauk pauk yang tinggal hanya berbaki tidak lebih dari empat jenis sahaja. Lagipun waktu makan sudah hampir tamat, jadi mereka mungkin kumpulan terakhir yang masuk ke restoran tersebut. Mereka memilih untuk duduk di tepi cermin yang boleh melihat pemandangan di luar.

“Siapa tadi tu?” Rahimah memulakan sekali lagi.

“None of your business.”

“Eh! Cakap macam tu lagi dengan aku, kita putus kawan!” Rahimah mengugut.

Wajah Alisya masih keruh sama seperti tadi sewaktu ternampak jejaka kacak yang sedang bergandingan dengan seorang wanita seksi. Mengapa mesti dia marah? Lelaki itu bukan ada kaitan pun dengannya. Biarlah dia buat apa sekalipun, atau mahu berkawan dengan sesiapa sahaja. Apa haknya untuk marah.

“Sorrylah Imah, aku emosi tadi.”

“I know from your face...”

“Siapa dia tu?”

“Abang angkat Kamal.”

“Kamal? Adik kau tu? Sejak bila pulak dia ada abang angkat yang handsome macam tu…” soal Imah ingin tahu.

“Aku pun tak tahu. Dia kata abang angkat, abang angkatlah. Aku dengar aje…”

“Solo?”

“Mana aku tahu.”

“Takkan tak tahu, kut? Yang dengan dia tadi tu siapa?”

Alisya menjungkitkan bahu tanda tidak tahu. Noktah!

Post a Comment

1 Comments

  1. Incredible points. Solid arguments. Keep up the good effort.

    ReplyDelete

close